Thursday, May 27, 2010

Nikmat Juara - Shahir AF 8

Petikan Berita Harian.

pix_gal0
Shahir merasai kebahagiaan sebagai pemenang selepas berpisah seketika dalam program realiti popular

DIA disingkirkan pada minggu kelapan Akademi Fantasia ke-8 (AF8). Terkeluarnya Shahir dari program realiti itu mengejutkan ramai pihak. Justeru, pada minggu seterusnya, ketika Ain menerima nasib yang sama, afmasuk diumumkan sebagai usaha membawa seorang pelajar yang dirasakan layak untuk bersama-sama bergelar finalis.

Dan nyata, tuah itu memihak kepada Shahir, pelajar dari Ipoh, Perak ini (ketika di pentas apabila ditanya Serimah Ibrahim, Shahir dikatakan dari Kampar, Perak).

Pada konsert kemuncak AF8, Shahir menyanyikan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan pada pusingan pertama, manakala di pusingan kedua dia menyampaikan lagu Biru Hitam Mataku. Ternyata lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan seolah-olah memberi makna tersendiri. Kebahagian yang dikecapi oleh Shahir dinikmati selepas ‘berpisah seketika’ daripada rakan-rakannya.

Seperti yang dikatakan pengetua AF8, Norman Abdul Halim, dia memang layak bergelar juara. Malah, Norman juga pernah meramalkan bahawa Shahir adalah bakal juara, seiring dengan Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy dan Hafiz.

Justeru, sangat ketara apabila afmasuk itu sebenarnya bagaikan satu misi untuk membantu Shahir bergelar juara.

Begitupun, apabila diajukan dengan soalan itu, Shahir dengan tenang menganggap kemenangannya itu sebagai satu rezeki buatnya.

"Saya rasa kesemua yang bertanding adalah pemenang sebenarnya. Saya sendiri tidak sangka bergelar juara malam ini. Namun sama ada adil atau tidak kemenangan itu berpihak kepada saya, saya anggap itu semua rezeki buat saya.
“Disebabkan terlalu gugup, saya hampir tidak sempat untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi saya semua.

"Walaupun gemuruh kerana mendengar sorakan mereka sewaktu saya menyanyi, tapi saya anggap itu sebagai pembakar semangat saya untuk memberikan yang terbaik buat semua,' kata Shahir sambil mengukir senyuman manis.

Ditanya apakah perasaannya apabila Adlin Aman Ramlie memuji persembahan Adira sambil menyifatkan itulah persembahan seorang juara, Shahir akur dengan apa yang dikatakan juri berkenaan.

"Mungkin itu penilaian Adlin tetapi saya tidak mengambil kenyataan itu terlalu serius. Apapun, saya bersyukur atas apa yang dikurniakan Tuhan terhadap saya malam ini," kata Shahir yang mendapat jumlah peratusan sebanyak 43.19 meninggalkan jauh Adira yang hanya memperoleh jumlah undian sebanyak 25.13 peratus.

Sebagai juara, Shahir yang membawakan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan dan Biru Mata Hitamku itu berjaya membawa pulang kereta Peugeot, percutian ke Hong Kong Disneyland, dua keping tiket penerbangan ke New York, set karaoke, jam tangan, percutian ke resort, telefon mudah alih beserta trofi Astro.

Tempat kedua pula menjadi milik peserta dari Sabah iaitu Siti Adira Suhaimi atau Adira manakala Muhd Shahril Firdaus atau Daus pula hanya mampu meraih tempat ketiga.Tempat keempat dan kelima masing-masing menjadi milik Maulana dan Iwan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...