Friday, February 24, 2012

Solehah Itu Cita-Cita

alt

Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.

Rasulullah bersabda,

"Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah". (HR Muslim).

Rasulullah bersabda,

"Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu". (HR Nasa'i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim )

"wanita solehah itu lebih baik dari bidadari syurga.dan isteri solehah itu akan menjadi ketua bagi bidadari bidadari syurga. kamu mahu menjadi solehah?" soal ustazah sewaktu minggu orentasi sofful awwal. Sewaktu saya mula menjejak kaki ke halaman maahad yang permai.

"nak..!!" jawab kami. Ustazah tersenyum.

"kalau macam tu, usahalah jaga akhlak kamu.Rasulullah pernah bersabda, "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu suka". (HR Ahmad)"

"insyaAllah ustazah..!"

Kini saya dah dewasa. Bukan lagi murid tingkatan satu dahulu. Mungkin cita cita untuk menjadi seorang doktor tak kesampaian. Namun cita-cita sebagai seorang wanita solehah tetap hidup dalam diri. Kalau dulu saya hanya mengangguk kalau ada yang berpesan

"Nanti kamu jadi anak yang solehah ya. Yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya"

Solehah yang ku hadam sebagai perempuan yang baik. mudah saja. ^^

Hari ini saya melihat dunia. Dunia realiti dan sebenar. Manalah perempuan yang baik itu. Susah untuk ketemu. Saya yang rasa dan pendam sendiri. Untuk menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan. Untuk menjaga aurat. Untuk menjaga iman dan akal hati. Kadang kadang saya menangis sendiri.

"ya Allah susahnya mahu jadi solehah. bertalu talu aku di uji"

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: ertinya:
"Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat)? mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?"

Ku sapu air mata. Takut kalau Allah mengunci hati. Ahh.. Itu hanya mehnah kecil. Sedangkan Sumayyah di uji imannya dengan ujian yang maha dasyat! Kan wanita solehah itu kuat jiwanya! Teguh azamnya!

"Seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil, tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi. Itulah yang terbaik."

Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya, tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan. Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa, tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran.

Ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya.

Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda. Muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi.

Solehah bukan lah mudah. Namun ia bukanlah mustahil. Selagi menjaga ibadah, menjaga kehormatan dan taat kepada suami.

Abu Hurairah berkata Rasulullah s.a.w bersabda :

"Apabila mati seorang anak Adam itu maka terhentilah amalnya kecuali 3 perkara:- Sedekah yang berjalan terus (sedekah amal jariah), ilmu yang berguna dan terus diamalkan dan anak yang soleh yang mendoakan baginya"

Cukuplah kesolehahan ku membawa kebahagiaan buat kedua wali ku dunia dan akhirat.

** Madah Untuk Wanita Solehah

Notakaki: Jom kita meneliti sejarah isteri-isteri Nabi kita dan wanita wanita solehah agar menjadi inspirasi bagi kita untuk terus bercita cita menjadi yang solehah.. ^^

- Artikel iluvislam.com

Thursday, February 16, 2012

Apabila Awan Baik Bercinta

"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia." (Surah An-Nuur, 27)

Aku berjalan kaki. Berjalan di atas tanah yang dihiasi dedaun kering. Hampir semua dedaun kering itu menjerit kesakitan apabila dipijak walaupun cuma tekanan daya yang perlahan. Berjalan dengan muka kosong dan pening kepala. Mungkin aku tersalah tidur sekali lagi .

Aku duduk di bangku kayu bersama teman imaginasi aku yang sukakan awan. Hairan. Entah kenapa sudah berumur lapan belas tahun tetapi masih lagi ada teman imaginasi .

Hairan juga sebab dia betul-betul sukakan awan. Aku masih lagi belum berani persoalkan kegemarannya berkenaan awan .

Ketika itu , mata teman imaginasi aku semakin liar menangkap awan di langit biru. Tangannya diregang ke atas , memicit langit untuk meraba awan yang laju bergerak . Gembira .

Namun , saat awan yang berbintik merah berlari laju ke telinga aku , terasa satu aura keberanian yang menyelaputi jasad . Muka yang kosong menjadi bernombor . Itu tandanya aku mahukan bicara

Awan itu lelaki baik ?

Aku terdiam . Muka yang bernombor daripada nilai tempat belasan menjadi nilai tempat puluhan ; persoalan semakin berganda dan aku mahu dengar bicaranya .

Ketika berusia kanak-kanak , aku bermain satu permainan perempuan yang dikenali sebagai 'masak-masak' . walaupun sekarang aku rasa yang nama permainan 'masak-masak' itu memang tak ada kaitan dan hanya sedikit sahaja bahagian memasak itu dalam permainan ini .

Misalnya, seorang isteri hanya akan memasak sarapan kepada si suami dan anak-anaknya pada waktu pagi sebelum keluar daripada rumah. Apabila si suami pulang ke rumah, si isteri hanya berbasi 'sudah pulang ?' atau 'abang , penat ya ?'

Aku cadangkan bahagian memasak itu perlu dijalankan lima kali sehari dalam permainan ini demi meneruskan warisan permainan yang kian pudar kepopularannya .

Permainan ini lebih kepada kehidupan seorang suami bersama isteri dan anak-anaknya. Yang pasti ini cuma olok-olok .

Tanpa skrip yang hebat pun, aku dapat rasa yang aku telah berjaya menjiwai watak seorang suami yang betul-betul bertanggungjawab kepada isteri palsu dan anak-anak yang palsu . Erk dan juga watak lelaki yang menyayangi kucing peliharaan jadian yang tak bermisai .

Persoalan mula terpancar mencari identiti diri . Bagaimana aku boleh fikir yang aku rasa telah berjaya menjiwai watak seorang suami yang baik dalam permainan masak-masak ini ?

Adakah disebabkan pujian daripada adinda Aisyah yang mengatakan aku ini seorang suami palsunya yang bertanggungjawab? namun , yang penting tika itu hati aku betul-betul berbunga . senyum .

Aku sudah menjadi lelaki baik ketika berusia kanak-kanak. Patutlah ramai mahukan aku sebagai suami palsu mereka. Wah , beruntunglah kepada sesiapa yang diam-diam dipanah arjuna aku .

Dan masa mula berjalan dengan cemburunya, meningkatkan garisan kedut dunia. Aku semakin dewasa, melihat awan-awan yang hanya simbolik ketenangan. Aku hairan dengan istilah lelaki baik yang disamakan dengan awan .

Sudahlah teman imaginasi aku menayangkan wayang memori tentang zaman dulukala , Aku pula kebingungan dengan awannya tetapi aku masih lagi tersenyum .

Aku masih dalam acara perseorangan

Aku masih sendiri, tiada pasangan. Gelaran lelaki baik aku sudah jelas luput ditelan zaman. Cinta aku hanya bertepuk sebelah tangan kepada si perempuan. Falsafah lelaki baik zaman kanak-kanak hilang ditiup angin moden. Aku bukan lagi lelaki baik, muka dingin .

Teman imaginasi aku tersenyum comel. Senyuman yang menenangkan persis awan putih di tapak tangannya yang jinak. Dengan basmalah , dia mengatur kata-kata baik .

Lelaki baik itu seperti awan

Lelaki baik itu sudah tentu seorang yang tenang. Walaupun laju dia bertindak , dia tetap tenang. Dan juga perlahannya dia beraksi , ketenangan tetap terpamer di setiap inci jasadnya .

Ketenangan itu simbolik awan. Mereka yang melihat awan pastinya akan turut tenang . Apabila lelaki baik itu berjalan, atmosfera ketenangan akan hadir menyelimuti manusia-manusia sekelilingnya .

Aku tidak hairan dengan falsafah ini . Malah, aku sudah jangkakan sedikit kata-kata baik daripada teman imaginasi aku. Awan dan lelaki baik ialah simbol ketenangan .

Apabila awan bercinta

Apabila seseorang lelaki baik itu bercinta, tak ubah seperti awan yang bercinta. Aku hairan yang bukan sedikit. Kening aku naik perlahan . Dia sambung kembali .

Awan itu isipadunya ialah wap air yang ketumpatannya rendah. Isipadunya sangat besar . Dengan izin tuhan , dia terapung-apung dan sangat ringan terbang di langit . Kagumnya ciptaan tuhan ini , sifatnya yang sangat cintakan bumi .

Cinta si awan kepada si bumi ialah dengan melepaskan isipadunya yang sarat dengan wap air yang tidak terkira banyak nilainya kecuali dengan pengiraan yang maha bijaksana yang serba tepat. Cintanya dicurahkan dengan membasahi bumi ; menyucikan jasad kotor .

Namun , cinta si awan kepada si bumi sangat mahal nilainya. Sifatnya yang gemar terapung-apung ; melarikan diri daripada bumi yang di bawah. Hadirnya cinta si awan itu hanya apabila isipadu airnya sudah mula berat ; berteriak menyahut panggilan graviti untuk bercumbu dengan cinta si bumi .

Apabila nilai isipadu wap air hujan itu telah disahkan oleh piawaian tuhan yang satu, jasad awan jatuh ke bumi dalam bentuk sejuta manfaat kepada si bumi untuk menyelimutkan ketenangannya di atas langit. Itu cinta awan kepada si bumi yang cukup indah hikayatnya

Lelaki baik itu gemar larikan diri

Sama seperti awan dan apabila seorang lelaki baik itu bercinta, datangnya cinta itu berbisik ke hatinya , lelaki baik itu lari. Lari dengan wajah yang tenang, menjarakkan diri daripada cinta seorang perempuan .

Lelaki baik itu terapung-apung dengan rendah diri, mengumpul ilmu untuk meningkatkan isipadu imannya ; tidak mahu menyentuh kulit halus si perempuan dan tidak akan sama sekali menghidupkan rindu yang lama kelamaannya berputik kepada zina hati .

Lelaki baik mendekatkan diri kepada cintanya dengan akad nikah

Datangnya seorang lelaki baik itu kepada cinta seorang perempuan. Membawa harapan yang isipadunya cukup sarat untuk dicurahkan fitrah yang dicipta Tuhan yang maha Esa .

Kontrak persetujuan tuhan ditandatangani untuk mendapat keizinan daripadaNya maka tersulamlah cinta yang diberkati tuhan antara lelaki baik dan pasangan fitrahnya .

Aku kagum. Kagum dengan falsafah awan putih yang berada di tangannya .

Bukan sedikit kagum itu sehinggakan hati ku mula membesar dengan semangat mahu memenuhi isipadu iman dengan wap-wap ilmu pengetahuan dan mencipta ketumpatan rendah diri agar aku bisa melarikan diri daripada cinta seorang perempuan .

Ingat aku, awan tidak selalu serupa dan suka terbang jauh, mungkin malu dengan cinta, ia akan berani dekati cinta apabila tiba satu saat yang dia sudah bersedia kongsikan air hujannya .

Lelaki baik itu pemalu ? yang pastinya dia lelaki yang tahu malu dengan tuhannya .

Dan apabila lelaki baik itu bercinta......aku bersalam dengan awan . Masih lagi senyum sampai sekarang :)

- Artikel iluvislam.com

Cintai Allah Sebelum Cintai Dia

Cinta adalah kekuatan,
Yang mampu mengubah duri jadi mawar,
Mengubah cuka jadi anggur,

Mengubah sedih jadi riang,
Mengubah amarah jadi ramah,
Mengubah musibah jadi muhibbah,
Itulah cinta..

Namun,
Cinta itu kan jadi kekuatan,
Jika disandarkan pada Allah,
Cinta itu kan jadi muhibbah,
Jika disalurkan pada jalan yang benar,
Cinta itu kan jadi riang,
Jika tak bertentang Buat para muslimah di luar sana,
Usah gusar jika belum berpunya,
Usah risau jika belum dipetik sesiapa,
Usah malu jika tiada lelaki yang bertakhta,

Yakinlah dengan qada\' qadar Allah,
Bila mana keluarnya kita dari rahim sang ibu,
Tercatat sudah di luh mahfuz,
Siapa jodoh kita,
Bila akhir hayat hidup kita,
Di mana nafas terakhir kita,

Yakinlah,
Allah lah sebaik2 pengatur hidup,
Berdoalah tiap kali lepas solat,
Wa la takilna ila anfusina torfata \'ain..
Ya Allah, jangan kau biarkan masa depan kami ditentukan oleh diri kami sendiri,
Walaupun cuma sekelip mata

"Serahkan hatimu pada Allah, pasti DIA temukan dengan pemilik terbaik"

Islam mengiktiraf cinta. Buktinya, dalam Al Quran sendiri, Allah ada berfirman dalam kalamNya, surah At Taubah ayat 24. Dalam ayat ni, Allah gambarkan ada 3 peringkat cinta dalam Islam

1) CINTA AGUNG: Cintakan Allah, Rasulullah dan berjihad di jalanNya.
2) CINTA PERTENGAHAN: Cinta pada ibu bapa, anak-anak, suami isteri, saudara mara dan kaum kerabat.
3) CINTA RENDAH: cintakan kaum kerabat dan harta benda melebihi cinta pada Allah , Rasulullah dan cintakan jihad di jalanNYA.

Mana satukah pilihan cinta kita??? Cinta pertama atau kedua atau ketiga?? Seperti mana kata ustazah Fatimah Syarha, pengarang novel Tautan Hati, cinta kekasih pacaran (yang belum halal) itu adalah cinta keji, kerana apa? Allah langsung tidak mengiktiraf nya dalam Al Quran

Tapi, kalau yang memang dah ada taman dalam hati macam mana? "Mak ayah tak bagi kahwin lagi sebab tengah belajar. Tak kan haram jugak kot. Rasa suka ni tak boleh nak sekat!".. Hmm, sebenarnya begini..

"Cinta ini memang fitrah, tapi jangan kita jadikan ia fitnah. Sebagai contoh, bila kita sedang berpuasa, kita disuruh agar tidak mendekati makanan kerana boleh jadi ia membawa fitnah yang boleh membawa kita berbuka puasa. Maka begitu juga CINTA, rasa suka itu fitrah. Jadi, kita dilarang mendekati maksiat seperti zina hati, dating dan bergayut dengannya di telefon agar fitrah itu tidak menjadi fitnah. Sehari tak bercakap dengan si dia jadi gundah, tapi sehari tak bangun qiamullail, tak pulak rasa begitu. Kalau penyakit ini ada dalam hati kita, hati-hati. Jangan sampai cinta yang kononnya suci ini jatuh martabat menjadi cinta rendah, iaitu bila mana cinta manusia lebih daripada cinta Allah..

"kami tidak akan ucapkan perkataan 'CINTA' kepada mana-mana lelaki ajnabi kerana.. kami simpan perkataan itu untuk diucapkan kepada bakal suami selepas akad nikah" -blog kunfayakun

"Aku menyintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu." [Imam Nawawi]dengan syariatNya

- Artikel iluvislam.com

Landasan Emas Ke Syurga

Setiap daripada kita lahir dengan seorang ibu dan seorang bapa. Ia satu nikmat pemberian Allah yang tiada nilainya di dunia ini. Carilah sampai ke hujung dunia. Kita hanya punya seorang ibu dan seorang bapa. Itulah landasan emas kita ke syurga yang didambakan setiap insan.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Bersabda Rasulullah s.a.w.

"Apabila seseorang telah meninggal dunia putuslah segala amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya. (Hadis sahih riwayat Muslim)

Kewajipan mentaati ibu bapa ini sudah dijelaskan dalam al-Quran. Rasulullah s.a.w juga bersabda yang maksudnya: "Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa."

Riwayat al-Hakim menjelaskan tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia. Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak wajib berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak.

Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji. Sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T. Amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

Ada sebuah kisah yang menyentuh hati mengenai anak yang taat kepada kedua orang tuanya. Pada zaman Nabi Musa a.s terdapat seorang pemuda yang memuliakan ibu bapanya. Lalu Nabi Musa a.s pergi ke rumah pemuda itu untuk melihat apakah amalan yang dilakukannya itu. Setelah memberi salam pemuda itu menjemput Nabi Musa a.s masuk ke dalam rumahnya. Baginda kemudian duduk di ruang tamu rumah pemuda tersebut.

Namun pemuda itu tidak melayan Nabi Musa a.s. Nabi Musa hairan dengan tingkah laku pemuda itu. Pemuda itu terus masuk ke dalam bilik. Kemudian beliau keluar dan membawa seekor khinzir betina keluar dari bilik itu. Dia mendukungnya dengan cermat, kemudian memandikannya. Nabi Musa sekali lagi kehairanan dan berbisik di dalam hati baginda "apakah ertinya semua ini?"

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu khinzir itu dilap hingga kering serta dipeluk dan dicium kemudian dihantar semula ke dalam bilik tadi. Selepas itu pemuda itu keluar semula dengan seekor khinzir jantan pula dan lebih besar sedikit daripada yang tadi. Dia kemudian melakukan hal yang sama seperti khinzir yang sebelumnya juga.

Selepas semua kerja selesai barulah dia melayan Nabi Musa a.s. Lalu Nabi Musa a.s bertanya kepada pemuda itu tadi "Apakah agama tuan?" "Islam agamaku"jawab pemuda itu ringkas. "Habis kenapa kamu membela khinzir?" tanya Nabi Musa a.s lagi.

Wahai tuan hamba kedua-dua khinzir yang aku dukung, dan aku mandikan itu tadi adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mnereka banyak melakukan dosa besar, Allah menukarkan rupa mereka kepada rupa khinzir yang hodoh. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain, itu urusannya sama Allah. Aku sebagai anak tetap melaksanakan tanggungjawabku kepada mereka berdua. Hari-hari aku berbakti kepada kedua orang tuaku itu sepertimana yang tuan hamba lihat tadi".

"setiap hari aku berdoa semoga Allah berikan rupa ayah dan ibu muka rupa mereka yang asal, tetapi Allah belum lagi mengkabulkannya," tambahnya lagi.

Maka ketika itu juga Allah berfirman dan menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s "Wahai Musa inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti hasil baktinya yang sangat tinggi kepada ibu bapanya. Walaupun Ibu bapanya buruk dan hodoh dengan rupa khinzir, dia tetap juga berbakti. Oleh itu kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami".

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat ibu bapanya yang Kami sediakan di neraka telah kami pindahkan ke dalam syurga".

Sayangi dan hargailah ibu bapa kita sementara kita masih bernyawa. Ibu bapa yang masih punya nafas selayaknya mendapat kasih sayang kita sepenuhnya walau di mana kita berada. Walau siapa juga kita. Seandainya ibu bapa kita sudah pergi meninggalkan kita, itu maknanya tangungjawab kita sebagai anak baru sahaja bermula.

- Artikel iluvislam.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...