Thursday, February 16, 2012

Apabila Awan Baik Bercinta

"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia." (Surah An-Nuur, 27)

Aku berjalan kaki. Berjalan di atas tanah yang dihiasi dedaun kering. Hampir semua dedaun kering itu menjerit kesakitan apabila dipijak walaupun cuma tekanan daya yang perlahan. Berjalan dengan muka kosong dan pening kepala. Mungkin aku tersalah tidur sekali lagi .

Aku duduk di bangku kayu bersama teman imaginasi aku yang sukakan awan. Hairan. Entah kenapa sudah berumur lapan belas tahun tetapi masih lagi ada teman imaginasi .

Hairan juga sebab dia betul-betul sukakan awan. Aku masih lagi belum berani persoalkan kegemarannya berkenaan awan .

Ketika itu , mata teman imaginasi aku semakin liar menangkap awan di langit biru. Tangannya diregang ke atas , memicit langit untuk meraba awan yang laju bergerak . Gembira .

Namun , saat awan yang berbintik merah berlari laju ke telinga aku , terasa satu aura keberanian yang menyelaputi jasad . Muka yang kosong menjadi bernombor . Itu tandanya aku mahukan bicara

Awan itu lelaki baik ?

Aku terdiam . Muka yang bernombor daripada nilai tempat belasan menjadi nilai tempat puluhan ; persoalan semakin berganda dan aku mahu dengar bicaranya .

Ketika berusia kanak-kanak , aku bermain satu permainan perempuan yang dikenali sebagai 'masak-masak' . walaupun sekarang aku rasa yang nama permainan 'masak-masak' itu memang tak ada kaitan dan hanya sedikit sahaja bahagian memasak itu dalam permainan ini .

Misalnya, seorang isteri hanya akan memasak sarapan kepada si suami dan anak-anaknya pada waktu pagi sebelum keluar daripada rumah. Apabila si suami pulang ke rumah, si isteri hanya berbasi 'sudah pulang ?' atau 'abang , penat ya ?'

Aku cadangkan bahagian memasak itu perlu dijalankan lima kali sehari dalam permainan ini demi meneruskan warisan permainan yang kian pudar kepopularannya .

Permainan ini lebih kepada kehidupan seorang suami bersama isteri dan anak-anaknya. Yang pasti ini cuma olok-olok .

Tanpa skrip yang hebat pun, aku dapat rasa yang aku telah berjaya menjiwai watak seorang suami yang betul-betul bertanggungjawab kepada isteri palsu dan anak-anak yang palsu . Erk dan juga watak lelaki yang menyayangi kucing peliharaan jadian yang tak bermisai .

Persoalan mula terpancar mencari identiti diri . Bagaimana aku boleh fikir yang aku rasa telah berjaya menjiwai watak seorang suami yang baik dalam permainan masak-masak ini ?

Adakah disebabkan pujian daripada adinda Aisyah yang mengatakan aku ini seorang suami palsunya yang bertanggungjawab? namun , yang penting tika itu hati aku betul-betul berbunga . senyum .

Aku sudah menjadi lelaki baik ketika berusia kanak-kanak. Patutlah ramai mahukan aku sebagai suami palsu mereka. Wah , beruntunglah kepada sesiapa yang diam-diam dipanah arjuna aku .

Dan masa mula berjalan dengan cemburunya, meningkatkan garisan kedut dunia. Aku semakin dewasa, melihat awan-awan yang hanya simbolik ketenangan. Aku hairan dengan istilah lelaki baik yang disamakan dengan awan .

Sudahlah teman imaginasi aku menayangkan wayang memori tentang zaman dulukala , Aku pula kebingungan dengan awannya tetapi aku masih lagi tersenyum .

Aku masih dalam acara perseorangan

Aku masih sendiri, tiada pasangan. Gelaran lelaki baik aku sudah jelas luput ditelan zaman. Cinta aku hanya bertepuk sebelah tangan kepada si perempuan. Falsafah lelaki baik zaman kanak-kanak hilang ditiup angin moden. Aku bukan lagi lelaki baik, muka dingin .

Teman imaginasi aku tersenyum comel. Senyuman yang menenangkan persis awan putih di tapak tangannya yang jinak. Dengan basmalah , dia mengatur kata-kata baik .

Lelaki baik itu seperti awan

Lelaki baik itu sudah tentu seorang yang tenang. Walaupun laju dia bertindak , dia tetap tenang. Dan juga perlahannya dia beraksi , ketenangan tetap terpamer di setiap inci jasadnya .

Ketenangan itu simbolik awan. Mereka yang melihat awan pastinya akan turut tenang . Apabila lelaki baik itu berjalan, atmosfera ketenangan akan hadir menyelimuti manusia-manusia sekelilingnya .

Aku tidak hairan dengan falsafah ini . Malah, aku sudah jangkakan sedikit kata-kata baik daripada teman imaginasi aku. Awan dan lelaki baik ialah simbol ketenangan .

Apabila awan bercinta

Apabila seseorang lelaki baik itu bercinta, tak ubah seperti awan yang bercinta. Aku hairan yang bukan sedikit. Kening aku naik perlahan . Dia sambung kembali .

Awan itu isipadunya ialah wap air yang ketumpatannya rendah. Isipadunya sangat besar . Dengan izin tuhan , dia terapung-apung dan sangat ringan terbang di langit . Kagumnya ciptaan tuhan ini , sifatnya yang sangat cintakan bumi .

Cinta si awan kepada si bumi ialah dengan melepaskan isipadunya yang sarat dengan wap air yang tidak terkira banyak nilainya kecuali dengan pengiraan yang maha bijaksana yang serba tepat. Cintanya dicurahkan dengan membasahi bumi ; menyucikan jasad kotor .

Namun , cinta si awan kepada si bumi sangat mahal nilainya. Sifatnya yang gemar terapung-apung ; melarikan diri daripada bumi yang di bawah. Hadirnya cinta si awan itu hanya apabila isipadu airnya sudah mula berat ; berteriak menyahut panggilan graviti untuk bercumbu dengan cinta si bumi .

Apabila nilai isipadu wap air hujan itu telah disahkan oleh piawaian tuhan yang satu, jasad awan jatuh ke bumi dalam bentuk sejuta manfaat kepada si bumi untuk menyelimutkan ketenangannya di atas langit. Itu cinta awan kepada si bumi yang cukup indah hikayatnya

Lelaki baik itu gemar larikan diri

Sama seperti awan dan apabila seorang lelaki baik itu bercinta, datangnya cinta itu berbisik ke hatinya , lelaki baik itu lari. Lari dengan wajah yang tenang, menjarakkan diri daripada cinta seorang perempuan .

Lelaki baik itu terapung-apung dengan rendah diri, mengumpul ilmu untuk meningkatkan isipadu imannya ; tidak mahu menyentuh kulit halus si perempuan dan tidak akan sama sekali menghidupkan rindu yang lama kelamaannya berputik kepada zina hati .

Lelaki baik mendekatkan diri kepada cintanya dengan akad nikah

Datangnya seorang lelaki baik itu kepada cinta seorang perempuan. Membawa harapan yang isipadunya cukup sarat untuk dicurahkan fitrah yang dicipta Tuhan yang maha Esa .

Kontrak persetujuan tuhan ditandatangani untuk mendapat keizinan daripadaNya maka tersulamlah cinta yang diberkati tuhan antara lelaki baik dan pasangan fitrahnya .

Aku kagum. Kagum dengan falsafah awan putih yang berada di tangannya .

Bukan sedikit kagum itu sehinggakan hati ku mula membesar dengan semangat mahu memenuhi isipadu iman dengan wap-wap ilmu pengetahuan dan mencipta ketumpatan rendah diri agar aku bisa melarikan diri daripada cinta seorang perempuan .

Ingat aku, awan tidak selalu serupa dan suka terbang jauh, mungkin malu dengan cinta, ia akan berani dekati cinta apabila tiba satu saat yang dia sudah bersedia kongsikan air hujannya .

Lelaki baik itu pemalu ? yang pastinya dia lelaki yang tahu malu dengan tuhannya .

Dan apabila lelaki baik itu bercinta......aku bersalam dengan awan . Masih lagi senyum sampai sekarang :)

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...